CUEPACS LEGA 5 ISU BERBANGKIT SELESAI

KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.
Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.

“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.

Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.

“Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,” katanya.

MINDA PENGARANG: SKIM SBPA TIDAK MENEKAN KAKITANGAN AWAM

KEPUTUSAN Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Januari pastinya melegakan kira-kira 1.4 juta kakitangan awam. Kelewatan pelaksanaan SBPA sehingga 15 Januari 2012 itu perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh JPA untuk memperbaiki dan memperhalusi kelemahan atau kecacatan terhadap lima isu dibangkitkan CUEPACS, khasnya membabitkan dasar pemisah atau ‘exit policy.’

Ini penting bagi memperlihatkan skim itu tidak menekan kakitangan awam yang menjadi tulang belakang kepada keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam. Kita percaya penjawat awam dapat memahami pelaksanaan dasar mendepani kemelut kelemahan prestasi dalam kalangan mereka sehingga mendorong JPA mewujudkan dasar itu. Pada hakikatnya, tidak begitu mudah bagi JPA dan kerajaan hendak membuat keputusan membuang kakitangan awam kerana ia biasanya perlu mengikut prosedur rumit serta memerlukan bukti kukuh sebelum keputusan itu dilakukan. Dari sudut lain, pendirian JPA itu juga selari dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seperti yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengambil kira kebajikan dan masa depan kakitangan awam. Kesediaan CUEPACS menerima skim SBPA seharusnya dapat menamatkan sebarang bantahan dalam kalangan penjawat awam terhadap skim itu. Apa juga polemik dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan penjawat awam berhubung opsyen yang ditawarkan dalam SBPA seharusnya tidak timbul lagi selepas ini kerana mereka mempunyai masa yang panjang untuk menilai skim baru itu dan faedah di dalamnya. Kita percaya dakwaan kononnya penjawat awam dipaksa menandatangani untuk menerima opsyen SBPA dan jika enggan, akan dibersarakan lebih awal tidak timbul lagi selepas ini. Begitu juga dengan isu kenaikan gaji dari 7 hingga 13 peratus seharusnya tidak dibangkitkan lagi kerana CUEPACS sudah menyatakan pendiriannya tidak menolak SBPA.

Kekaburan penjawat awam terhadap faedah dinikmati apabila menandatangani SBPA juga perlu diperjelaskan CUEPACS dan JPA supaya ia tidak menjejaskan prestasi kerja dan perkhidmatan awam. Apa yang pasti, penjawat awam selepas ini, mahu atau tidak, mereka perlu memilih untuk menerima opsyen bersara 60 tahun jika mahu mendapat pelbagai ganjaran dan imbuhan apabila pencen kelak. Apa yang penting, pelaksanaan SBPA itu nanti diharap dapat membantu kerajaan melaksanakan pelbagai agenda transformasi negara seperti yang diharapkan

ANALISIS : PERCANGGAHAN SBPA PERLU SELESAI DI MEJA RUNDINGAN

BUDAYA mengugut seperti didakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya 1.4 juta kakitangan awam ‘menandatangani borang kosong’ opsyen penerimaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh dua minggu, mulai 16 Disember lalu perlu diselesaikan segera kerana ia bukan perkara mudah seperti dianggap JPA.

Kekecewaan diluahkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman sehingga mahu mengadu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini, khususnya mengenai kelemahan skim baru berkenaan seharusnya membuka mata kepada pelbagai pihak, khususnya Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Mekanisme pelaksanaan skim pemisah atau exit policy dalam SBPA bagi mereka yang menerima markah kurang daripada 70 peratus bagi tiga tahun berturut-turut selepas penilaian dibuat pegawai mereka, sekali gus boleh dibersarakan awal berbanding 50 peratus ketika Skim Saraan Malaysia (SSM) dan kegagalan JPA menyediakan jadual tangga gaji SBPA untuk diteliti kakitangan awam menjadi isu pokok yang dipertikaikan CEUPACS.

Ini belum lagi membabitkan soal kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. Paling janggal apabila JPA tidak memanggil langsung wakil CUEPACS ketika merangka SBPA, sedangkan ia membabitkan masa depan 1.4 juta kakitangan awam.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak tahu wujud kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab (JPA) menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham masalah kami.

“Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim itu sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri,” kata Omar ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM), tiga hari lalu.
SBPA diumumkan Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada Oktober lalu bagi menggantikan SSM mulai awal tahun depan, menawarkan pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam melalui skim pencen, pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Matlamat murni SBPA mahu mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi pada masa depan pastinya akan menempuh onak dan duri jika pada peringkat mahu dilaksanakan lagi menimbulkan pelbagai persoalan, selain mendapat bantahan kesatuan yang memayungi perkhidmatan awam.

“Ini hanya mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar minum bersama pegawai di kantin pejabat supaya mereka dinilai dengan markah yang baik setiap tahun,” kata Omar.

Sama ada sedar atau tidak, JPA seharusnya memikirkan kesan jangka panjang yang perlu ditanggung kerajaan, terutama ketika kepemimpinan negara di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sedang rancak menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Mahu atau tidak, perlu diakui, Parlimen Putrajaya menempatkan pusat pentadbiran kerajaan amat memerlukan sokongan kakitangan kerajaan yang ketika ini menjadi 90 peratus daripada pengundi di kawasan itu. Paling menarik, 90 peratus daripada pengundi di situ adalah daripada kumpulan sokongan.

Hakikatnya, kakitangan awam adalah penyokong kuat kerajaan dan sewajarnya suara hati mereka didengar dan diberikan perhatian. Mereka bukan meminta di luar kemampuan kerajaan, sebaliknya mengharapkan kerajaan membela hak atau sekurang-kurangnya mendengar dulu masalah mereka. Ini peluang terbaik bagi kerajaan, khususnya JPA mendengar rungutan mereka sebelum PRU-13 datang.

Pilihan raya umum pada 1999 menyaksikan Terengganu di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ‘terlepas’ daripada BN ke tangan PAS kerana ‘gelombang hijau’ begitu ketara dalam kalangan kakitangan awam. Pendekatan ‘Acu Ubah Sekali’ berjaya menguasai minda kakitangan awam yang akhirnya mengundi pembangkang, selain faktor ‘cah keting’ dalam kalangan kepemimpinan UMNO negeri ketika itu.

Keprihatinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menghargai usaha CUEPACS mahu menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA memperlihatkan komitmen beliau yang mahu isu ini diselesaikan segera.

“Tujuan kerajaan ialah membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi jika mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan supaya perkara itu boleh ditangani,” katanya sekali gus menggambarkan ruang perbincangan antara JPA dan CUEPACS masih terbuka luas.

Kita berharap ‘kata dua’ Abu Bakar sebelum ini hanya penjawat awam yang mempunyai alasan munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh 31 Disember ini seperti sakit atau berada di luar negara dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama, sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan dikaji semula demi mendapatkan keadaan ‘sama-sama menang.’

Dasar pemisah atau exit policy yang ketika ini menjadi isu utama SBPA sewajarnya diteliti semula bagi mengelakkan pandangan kononnya dasar itu sama seperti mahu dilaksanakan pembangkang, terutama DAP bagi mengurangkan jumlah kakitangan awam jika berjaya menguasai Putrajaya.

TARIKH TERIMA OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE-15 JAN, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DISEMBER 2011

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

Omar berkata lima perkara yang telah dibangkitkan oleh Cuepacs ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.

Katanya opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.

Beliau berkata rundingan hari ini turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.

"Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar," katanya.

Mengenai 'Exit Policy', Omar berkata rundingan hari ini mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil Cuepacs akan hadir untuk memberi pandangan.

"Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, Cuepacs akan hadir sebagai pemerhati, dan dari situ kita akan selesaikan.

"Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal," katanya.

Omar berkata satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki.

SBPA: NAJIB ARAH JPA, CUEPACS BERUNDING

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan CUEPACS dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera mengadakan rundingan bagi menyelesaikan isu berbangkit dalam pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.

Presiden CUECPACS, Datuk Omar Osman, berkata berikutan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan JPA bagi membincangkan perkara itu di sini, esok.

CUEPACS: PM SETUJU TANGGUH PELAKSANAAN SBPA

NONEUtusan Online melaporkan beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.
Manakala Bernama pula memetik Omar sebagai berkata perdana menteri meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen.

Beliau memberitahu demikian mengenai hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib hari ini.

PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENGURUSAN KEPIMPINAN KALI KE-2














Seminar ini telah diadakan di hotel abadi melaka pada20hb-22hb disember 2011,seramai 15 wakil dari uitm dalam kumpulan perlaksana telah mengikuti seminar ini,diharapkan seminar ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.sekian.

(Gambar) sekitar majlis RAPAT 1 MALAYSIA






RAPAT 1 MALAYSIA di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam



Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi MARA (KKUUiTM), Institut Perkembangan Minda Selangor (INMIND), Kelab Pembantu Perpustakaan UiTM, JASA dan Persatuan Pustakawan Malaysia dengan segala hormatnya menjemput ahli-ahli Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi MARA (KKUUiTM) menghadiri Program ini pada:

Tarikh :  03 November 2011(Khamis)
Masa  :  08:00 pagi hingga 01:00 petang



Semua dijemput hadir, sekian terima kasih.

SBPA: " TUNGGU SEHINGGA KAMI JUMPA PM"

Utusan Malaysia
18/12/2011
SHAH ALAM 17 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.
Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.
"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.
"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.
SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.
Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.
"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.
"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.
Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.
"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini

TAKLIMAT CUEPACS BERHUBUNG SBPA UNTUK ANGGOTANYA DI CIDB

Bernama
17/12/2011

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- CUEPACS akan memberikan taklimat mengenai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kepada anggotanya di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Cheras Ahad.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata taklimat yang akan diadakan pada 3 petang itu adalah bagi menjelaskan isu skim baru tersebut.

Beliau berkata kongres itu juga dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai SBPA Khamis ini di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pelajaran Semenanjung Malaysia di sini.

Beliau berkata CUEPACS juga mendapat aduan daripada kakitangan awam di Sabah dan Johor yang mendakwa mereka dipaksa menandatangani surat opsyen SBPA selepas menghadiri taklimat skim itu oleh segelintir pegawai atasan mereka.

Sehubungan itu, kakitangan awam dinasihatkan agar tidak terburu-buru menandatangani surat opsyen tersebut kerana ia tidak disertai maklumat atau skala gaji, dan mereka diberi tempoh hingga 30 Dis ini untuk membuat keputusan.

Omar berkata jika terdapat pegawai atasan yang memaksa penjawat awam menandatangani surat ospyen, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada CUEPACS.

Beliau berkata antara faktor CUEPACS tidak bersetuju dengan polisi SBPA yang menyebut kakitangan awam yang memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kurang daripada 70 peratus, boleh dibersarakan awal.

Omar mendakwa peraturan itu boleh disalahgunakan pegawai atasan bagi menindas kakitangan yang tidak disukai dengan memberi markah rendah.

Selain itu, paras 70 peratus dalam LNPT adalah lebih tinggi berbanding markah 50 peratus yang diperlukan di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi kenaikan gaji, katanya.

Omar berkata CUEPACS juga masih tidak begitu jelas mengenai golongan yang menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki.

Beliau berkata CUEPACS juga kesal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak memanggil wakil kongres itu untuk merangka SBPA, kerana sebelum ini, ia turut terlibat dalam penggubalan sistem yang menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

SBPA BUNUH KOMITMEN KAKITANGAN AWAM

Harakah Daily
Abdul Aziz Mustafa
17/12/2011
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sebuah jawatankuasa bersama antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu ditubuhkan sebelum dilaksanakan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Oleh kerana SBPA melibatkan kepentingan dan masa hadapan pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam, amat tidak adil jika sistem tersebut dilaksanakan tanpa persetujuan mereka," kata beliau sambil mengecam kerajaan yang langsung tidak berunding dengan wakil sah kakitangan awam sebelum sistem itu dilaksanakan.

Sambil menyifatkan SBPA akhirnya akan membunuh komitmen dan motivasi kakitangan awam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berharap sistem itu dibatalkan.

"Bagaimanapun, SBPA hanya akan dibatalkan jika kakitangan awam bersatu dan berganding bahu dengan perancangan yang berkesan untuk menolak sistem itu.

"Pihak lain boleh mendesak dan menyuarakan rasa tertindas kakitangan awam yang menolak SBPA, tetapi kerajaan hanya akan tunduk kepada bantahan besar-besaran kakitangan awam sendiri," kata beliau yang melihat SBPA sebagai taktik untuk mengurangkan kakitangan awam.

Mahfuz juga mempersoalkan sikap membisu penjilat-penjilat Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini tanpa sebarang asas yang wajar menuduh Pakatan Rakyat (PR) mahu mengurangkan kakitangan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Cuepacs mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem SBPA dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Apa yang lebih dipersoalkan, seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa hanya dua minggu mulai 16 Disember untuk menerima SBPA.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, JPA tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada Linkmaklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” katanya.

Menurut beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke negeri-negeri, ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, katanya.

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM (CUEPACS)

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM ANJURAN CUEPACS

TAJUK : BANTAHAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

TARIKH: 18 .12. 2011 (AHAD)
MASA: 3.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN CIDB, JALAN CHAN SOW LIN, CHERAS,
KUALA LUMPUR


SEMUA PENJAWAT AWAM DIJEMPUT HADIR

CUEPACS MAHU TEMUI NAJIB KHAMIS INI BERHUBUNG OPSYEN SBPA

KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.

Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.

Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

MESYUARAT KHAS KKUUiTM MALAYSIA BERSAMA KKUUiTM CAWANGAN







Mesyuarat ini telah diadakan pada 15 dan 16 disember 2011 yang bertempat di hotel brasmana kuala perlis,seramai 30 orang peserta dan ajk yang terlibat dalam mesyuarat bersama ini yg terdiri dari pada pengerusi dan setiausaha setiap cawangan yang hadir.banyak juga isu-isu yang di bangkitkan seperti kenaikan pangkat,SBPA,mesyuarat agung,kebanjikan dan lain-lain lagidi setiap cawangan di dalam mesyuarat ini.diharapkan mesyuarat ini dapat dijalankan setiap 4 kali setahun.syabas kepada semua yang turut hadir.

PROGRAM MESRA RAMADAN BUBUR LAMBOK KKUUiTM DAN KELAB-KELAB DALAMAN

Program mesra ramadan bubur lambok

Tarikh  :23 Ogos 2011(Selasa)
Masa   :8.00 Pagi Hingga 5.00 Petang
Tempat:Perkarangan Pakir Pusat Akademi Bahasa









MAJLIS BERBUKA PUASA KKUUiTM BERSAMA KELAB-KELAB DALAMAN

Majlis  berbuka puasa dan solat tarawih telah diadakan pada 180gos 2011 di bahagian perolehan bendahari yg dihadiri seramai 30 orang daripada pelbagai kelab dalaman dah exco KKUUiTM sendiri pelbagai juadah yg menarik telah disajikan,diharapkan akan ada lagi program seperti ini akan dijalankan lagi.TAHNIAH