BTN BUKAN BADAN TENTU GAJI KAKITANGAN AWAM

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudin
2011/02/11

Agensi JPM perjelas kenyataan CUEPACS isu agihan

KUALA LUMPUR: Biro Tata Negara (BTN) hanya menjalankan kursus kenegaraan, bukannya badan yang bertanggungjawab menaik atau menurunkan gaji kakitangan awam, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Shagul Hamid Abdullah.

Beliau berkata, agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu melaksanakan kursus kenegaraan, Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Satu selaras dengan surat pekeliling perkhidmatan Bil 1 2003 bertajuk Pelaksanaan Kursus Kenegaraan. “Bagaimanapun, kerajaan memutuskan kursus PTK dimansuhkan berkuat kuasa 1 Januari lalu seperti dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 13 2010 bertajuk ‘Pemansuhan Tahap PTK’ yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 November 2010. “Pemansuhan ini juga membabitkan kursus kenegaraan PTK Satu yang dilaksanakan BTN,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kenyataan CUEPACS yang mendakwa beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hinggga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras empat tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan BTN menghentikan kursus yang menjadi syarat wajib untuk menikmati anjakan itu.

Kelmarin, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng dilaporkan berkata, penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Shagul Hamid berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai pemansuhan kursus itu kepada semua Ketua Setiausaha kementerian pada 10 Januari lalu.
Pada masa sama, katanya, pemansuhan pelaksanaan kursus kenegaraan itu juga dimuatkan dalam laman web BTN. Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

CUEPACS DAKWA GAJI KAKITANGAN AWAM TAK NAIK

Berita Harian
11/2/2011

2011/02/10 KUALA LUMPUR: CUEPACS mendakwa beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras empat, tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan kursusnya yang menjadi syarat wajib untuk menikmati anjakan itu.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan. Sehubungan itu, katanya, CUEPACS mencadangkan supaya kumpulan yang sudah lulus PTK tahun lalu dikecualikan daripada kursus BTN untuk anjakan gaji mereka.

“Sehingga kini CUEPACS menerima lebih 15 aduan daripada penjawat awam termasuk dari Sabah yang masih menunggu untuk mengikuti kursus BTN semata-mata mengharapkan menerima anjakan gaji.

“Kebiasaannya sebaik saja mengikuti kursus BTN, penjawat awam akan ditawarkan anjakan gaji secara automatik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam

CUEPACS MAHU GAJI MINIMUM RM900

Berita Harian
8/2/2011


KUALA LUMPUR: CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan perkhidmatan awam merayu kerajaan supaya memperkenalkan gaji minimum RM900 sebulan dalam usaha membantu kakitangan berpendapatan rendah.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ketika ini segelintir kakitangan kerajaan yang bekerja sebagai pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu masih menerima gaji asas antara RM600 hingga RM647 sebulan. “Kita berasakan sudah tiba masanya struktur gaji sektor awam disemak semula dengan mewujudkan kadar gaji minimum selepas kali terakhir semakan dilakukan pada 2007. “Jika sektor awam mempunyai gaji minimum, CUEPACS berasakan segelintir kakitangan awam tidak akan membuat kerja sampingan yang kini dilihat sedikit sebanyak menjejaskan prestasi kerja mereka,” katanya di sini, semalam.

Omar berkata demikian pada sidang media sebelum merasmikan kursus pemantapan disiplin dan integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di Pusat Belia Antarabangsa, di sini.

Omar berkata, CUEPACS juga akan membangkitkan perkara itu pada Makmal Gaji Minimum yang dijadualkan berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pelajaran dalam tempoh terdekat ini berhubung isu pekerja kontrak yang kehilangan kerja selepas kontrak perkhidmatan masing-masing tidak disambung semula.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan semalam, berkata orang awam akan diberi peluang mengemukakan pendapat mengenai dasar gaji minimum apabila kementerian mengadakan Hari Terbuka bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang Sabtu ini.

Katanya, program berkenaan diadakan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Abdul Razak di sini.

CUEPACS MAHU KERAJAAN WUJUDKAN GAJI MINIMUM BAGI PENJAWAT AWAM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Cuepacs Isnin meminta kerajaan menetapkan gaji minimum bagi penjawat awam supaya mereka dapat menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa ini, gaji yang diterima penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan, masih lagi berada di bawah garis kemiskinan RM720 sebulan.

"Contohnya bagi Gred 1 hingga Gred 16 dalam Kumpulan Sokongan II, permulaan gaji RM647, bawah paras gaji kemiskinan. Sekarang paling tidak mesti RM850 atau RM920, dan ini tak termasuk elaun, hanya gaji pokok.

"Kakitangan kerajaan sekarang ni, kalau ikut betul-betul gaji, memang belum sampai gaji minimum. Tapi disebabkan tambah elaun, maka sampai (paras gaji minimum)," katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pemantapan Disiplin dan Integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di sini, Isnin.

Beliau berkata gaji yang rendah boleh mengakibatkan produktiviti pekerja terjejas terutamanya apabila mereka melakukan pekerjaan sambilan.

Justeru, Omar berkata kerajaan perlu menyemak semula gaji minimum bagi penjawat awam dan menyelaraskannya dengan sektor swasta untuk mengelakkan perkara melibatkan disiplin pekerja itu berlarutan.

Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada Mei 2007.

Omar juga berharap Makmal Gaji Minimum yang akan berlangsung esok dapat mencari rumusan terbaik masalah gaji yang rendah di kalangan penjawat awam.

Makmal tiga hari itu yang akan berlangsung pada 8, 11 dan 14 Feb di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dijangka dapat mencapai kata sepakat berhubung cadangan penetapan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan.

Mengenai isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan dimansuhkan Jun depan, Omar berkata bahagian kompetensi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi mencari bentuk penilaian baru yang sesuai berbanding konsep peperiksaan dalam PTK.



-- BERNAMA