DESAK CUEPACS TANGGUH AKTIVITI

Harian Metro
27/1/2011


KUALA LUMPUR: Sepuluh kesatuan sekerja yang menghantar memorandum bantahan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) kerana mendakwa berlaku penyelewengan pada Konvensyen Cuepacs ke-25, mendesak agar Cuepacs menangguhkan sebarang aktiviti sementara menunggu hasil siasatan JHEKS.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am Mardi, Ramli Omar berkata, sehingga kini keputusan belum diketahui dan Cuepacs seharusnya menangguhkan sebarang aktiviti bagi menghormati hasil siasatan itu kelak.

“Ini kerana sebarang keputusan yang dibuat JHEKS kelak akan menentukan kesahihan barisan kepemimpinan Cuepacs sekarang dan ini bermakna aktiviti yang dijalankan mungkin tidak sah dari segi perlembagaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini, semalam.
Beliau juga berharap JHEKS mengeluarkan arahan secara bertulis kepada Cuepacs untuk menangguhkan sebarang aktiviti serta-merta sehingga hasil siasatan diumumkan.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa kami tidak mempunyai agenda tersembunyi dalam perkara ini dan bantahan yang dikemukakan semata-mata kerana pemilihan tempuh hari tidak dijalankan mengikut perlembagaan,” katanya.

Kumpulan kesatuan sekerja berkenaan mendakwa Konvensyen Cuepacs ke-25 pada 21 hingga 25 Disember lalu tidak sah kerana beberapa insiden dan pelaksanaan konvensyen yang didakwa tidak mematuhi perlembagaan, peraturan dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan