PENJAWAT AWAM DIMINTA AMALKAN ICT SEPENUHNYA Bernama 1/1/2011


TUARAN, 30 Dis (Bernama) -- Sesetengah penjawat awam yang enggan menggunakan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam urusan kerja seharian akan membawa kerugian dari segi kos dan masa.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Muhammad Hatta Ab. Aziz berkata walaupun inisiatif perkhidmatan berteraskan teknologi ICT telah lama diperkenalkan dalam sektor awam, namun sehingga hari ini masih ada di kalangan penjawat awam yang enggan bergerak maju ke hadapan dan masih selesa di takuk lama.

"Budaya e-mel masih lagi menjadi pilihan kedua dalam perhubungan untuk melaksanakan sesuatu urusan bagi sesetengah jabatan...masih ada di antara kita yang enggan menerima surat yang dihantar melalui e-mel sebagai rasmi dan meminta untuk dihantar surat asal sama ada melalui faks ataupun pos.

"Ini bukan saja menyusahkan pihak-pihak yang terlibat, malah menambahkan kos. Amatlah rugi jika teknologi yang begitu canggih, yang mempercepatkan urusan dan mengurangkan kos, tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya," katanya semasa merasmikan Seminar ICT di kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah di sini, Khamis.

Seminar itu yang diadakan setiap tahun sejak 2006 dengan kerjasama INTAN Sabah, MAMPU Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Perkhidmatan Komputer negeri Sabah dan Lembaga Koko Malaysia dengan tema 'Green IT' pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memberi contoh lain kurangnya kepekaan penjawat awam terhadap konsep ICT Hijau seperti tidak menutup peralatan ICT selepas digunakan, serta mencetak dokumen yang kurang penting sesuka hati sehingga menyebabkan pembaziran dari segi kertas dan toner pencetak.

"Saya percaya walau secanggih teknologi yang dimiliki, faktor manusia yang mempunyai akal fikiran dan kemahiran menggunakan teknologi tersebut adalah penentu kepada sejauh mana kesan atau impak positif yang dapat diperoleh daripada teknologi tersebut," katanya.

Sektor awam, tegas Muhammad Hatta, harus berusaha mengikis pandangan rakyat bahawa perkhidmatan awam tidak cekap dan ketinggalan zaman.

"Kemajuan dan kecanggihan yang ada pada hari ini, tidak membenarkan kita untuk terus memberikan pelbagai alasan yang lemah atas ketidakcekapan," tegas beliau.



-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan